Malam tadi, saya telah menerima berita berkenaan sebuah keluarga yang sudah tinggal di kawasan kaki lima di bangunan-bangunan sekitar Kepong. Lepas dapat tahu berkenaan berita tersebut, sekitar jam 9.30 malam semalam, saya telah pergi meronda di kawasan Metro Prima untuk mencari mereka.
Saya bernasib baik kerana saya dapat bertemu dengan mereka. Selepas itu, saya membawa mereka ke pusat khidmat saya. Selepas jam 8 malam, banyak kedai sudah tutup, jadinya saya masak mi segera buat mereka alas perut. Sementara itu, team saya cuba mencari tempat untuk mereka berehat buat waktu itu.
Ramesh (bukan nama sebenar) sudah tinggal di jalanan semenjak 6 bulan lepas. Sebelum ini, mereka sekeluarga tinggal di Pulau Pinang dan Ramesh bekerja sebagai penghantar tong gas. Oleh kerana PKP, dia hilang kerja. Di KL juga nasib tidak menyebelahi dia. Disebabkan oleh PKP, dia tidak dapat mencari kerja. Isterinya, Kajol (bukan nama sebenar) juga sedang sarat mengandung. Ramesh tidak boleh berjauhan dengan isterinya buat waktu ini, kerana kandungan mereka sudah berusia lapan bulan. Dalam masa yang sama, Ramesh sering membawa Kajol ke hospital untuk melakukan pemeriksaa
n bulanannya. Mereka juga mempunyai seorang anak lelaki berumur 3 tahun.
Selain daripada bantuan-bantuan orang sekeliling, cara mereka mencari duit adalah dengan mencari sampah-sampah yang boleh dikitar semula. Selagi ada yang boleh dikitar semulakan atau dijual, mereka ambil sahaja.
Ramesh beritahu saya, kadang-kadang gila juga jadinya apabila diletakkan dalam situasi begini. Dia cuma mahu cari tempat yang selesa untuk isteri dan anaknya, serta bekerja dan mencari duit.
Mendengar cerita beliau, saya juga risau dengan keselamatan mereka, lebih-lebih lagi Kajol masih sarat mengandung dan mereka membawa anak kecil.
Berkat hujan malam semalam, pihak saya akhirnya menemui sebuah hotel yang beroperasi untuk menempatkan mereka buat sementara waktu. Agak sukar untuk mencari hotel yang beroperasi waktu PKP ini. Saya beritahu mereka buat malam ini, tidak perlu memikirkan apa-apa dahulu. Rehatlah tanpa risau dan gundah. Esok-esok, baru kita fikirkan perihal kerja dan tempat sewa.
Buat masa ini, saya akan cuba mencari kerja kosong untuk Ramesh dan juga tempat bagi mereka untuk tinggal bersama. Tak sanggup saya untuk melihat seorang wanita yang sarat mengandung dan anak kecilnya tidur di kaki jalan. Sekiranya terjadi apa-apa nanti, susah jadinya. Ramesh memberitahu dia betul-betul mahu bekerja, untuk memastikan dia boleh berbakti kepada keluarganya.
Saya benar-benar geram dengan pihak kerajaan. Pandemik ini cukup membuktikan sifat mabuk kuasa mereka. Negara masih dalam keadaan pandemik, tetapi mereka hanya sibuk memikirkan jawatan dan kuasa masing-masing. Saya yakin dan pasti ramai orang di luar sana sedang melalui apa yang Ramesh lalui. Tetapi cerita-cerita ni seakan-akan tidak sampai ke telinga mereka. Adapun bantuan, susah untuk dimohon! Kerajaan Perikatan sudah terang lagi bersuluh, sebuah kerajaan yang gagal segagal-gagalnya.
Comments